Saturday, April 26, 2008

Lagu,melodi dan Liriknya

Bagi diri saya dan rakan-rakan yang lain,detik-detik cuti hampir tamat,maklumlah sesi matrik,upu dan sebagainya akan bermula tidak lama lagi.Bahkan ada sesetengah rakan saya yang sudah duduk di dewan kuliyyah lebih awal( Tahniah bagi mereka ).Bermakna satu lagi buku hidup baru akan dibuka oleh kita semua.Ya "lagu,melodi dan liriknya!" Lagu yang berkualiti ialah lagu yang mempunyai alunan melodi utuh dan disulami dengan lirik yang jelas dan tegar.Rakan-rakan, begitulah juga diri kita yang diibaratkan sebagai sebuah 'lagu'.Setiap manusia mempunyai melodi dan rentak diri masing-masing secara sedar atau tidak sedar.Namun,jika kita abaikan liriknya iaitu sebagai inti dan batu asas ,melodi itu akan pudar,sumbang,dan tidak ada isi padanya.Maka gunakan ilmu yang telah dipelajari untuk mencipta lirik-lirik diri anda agar melodi itu tidak sumbang apabila dialunkan lagunya.
Maka fikir-fikirkan lirik yang macam mana hendak ditulis oleh diri kita agar sesuai dengan melodi dan sedap untuk di dengar.Harapannya,sahabat dan rakan dapat memahaminya dengan sebaik mungkin.

Tiada apa yang ingin disampaikan kepada rakan-rakan yang akan terus berjuang di menara gading melainkan berjuanglah atas dasar niat kerana Allah dan agama disisiNya.Jangan kamu semua hanyut bersama mimpi-mimpi indah di sana kerana mimpi sebenarnya belum menjelma untuk kita ketahui apa yang ada dihadapan sana.Maka berpeganglah pada bendera Ar-Rahman dan Ar-Rahim supaya kita bisa menjadi insan berguna InsyaAllah.



Wednesday, April 23, 2008

Minggu-Minggu Yang Dilalui

Sudah lama tidak menulis,mungkin kerana tangan yang belum bersedia untuk menaip apa-apa yang boleh dihidangkan di sini.Ya,pelbagai aktiviti yang dilalui minggu lepas dan minggu sebelumnya!Pelbagai pengalaman dan ilmu yang dapat dipelajari dari hari ke hari.Bermula dengan Sukan Remaja JIM (SURE ).Mewakili pasukan Ampang Jaya untuk permainan Ping Pong.Walaupun tidak menang tetapi pengalaman melihat-Wakil Negeri berentap memang menjadikan diri saya teruja dengan mereka ini.Pergi ke PC fair bersama Abah dan Acid untuk mencari MP4.Alhamdulillah dapat juga membelinya menggunakan duit sendiri walaupun Abah tambah sikit.(heheeh Terima Kasih Abah..jangan jealous kakak ).
Seterusnya,saya mendapat tawaran ke 'EduCamp' pada 15 dan 16 April.'EduCamp' ini merupakan program yang dilaksanakan oleh pihak Petronas untuk menjalankan sesi interview bagi mereka yang ingin meminta tajaan Petronas untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti.Program dijalankan di Universiti Teknologi Petronas (UTP) Tronoh,Perak.Anggarannya 500 orang peserta yang hadir untuk sesi yang pertama,dan masih terdapat 3 lagi sesi kemudiannya.Mujurlah saya dipanggil untuk sesi pertama bersama Nadzrin dan Syakirin Zainuddin(kawan lama).Kami ditempatkan di dalam satu bilik yang sama.2 hari itu cukup memberi saya satu pandangan yang cukup berbeza iaitu persaingan yang sengit antara pelajar Melayu-Cina -India.Mungkin jika interview MARA tempoh hari hanya muka orang-orang Melayu sahaja yang kelihatan tetapi untuk
kali ini - Nah !!! semuanya ada.Itulah dunia, setinggi mana pun kejayaan dan kekuasaan kita namun ada yang lebih tinggi daripada itu.Maka dapatlah saya berkenalan dengan rakan-rakan baru di sana.
Dapat juga bertemu dengan kakak sepupu saya ( Kak Syamimi ) di sana semasa hari terakhir sebelum saya pulang ke K.L.(Terima Kasih...belikan makanan heheh).Dapat atau tidak,saya serahkan kepada yang Maha Agung,yang penting doa dan terus tawakkal.
Seterusnya,Sekolah saya telah mengadakan Malam Apresiasi Seni Al-Amin 2008 ( MASSA) pada hari sabtu malam 19/4 .Sebelum itu, saya mengikuti Program Tamrin Tingkatan 3 anjuran ANDALUS dibawah Abg Syarep pada 18 dan 19 April yang lalu.Bagi MASSA, tahniah saya ucapkan kepada semua yang telah menjayakannya,itulah pengalaman mereka yang perlu dipelajari dan dihayati pada zaman persekolahan mereka.Saya minta maaf kepada semua pelajar Al-Amin khususnya kepada Tuan Pengarah(AMIRUL ARIF) kalau-kalau saya ini mengacau program dan membantutkan perancangan antum semua dengan idea-idea saya yang
mengarut-ngarut itu.Saya akan cuba untuk tidak menyibuk lagi ke program antum semua insyaAllah.Apa-apa pun,Allah telah tunaikan permintaan antum untuk mengadakan MASSA pada tahun ini.
Maka seperti biasa rumusan yang dapat dilakukan untuk minggu-minggu yang dilalui :

1.Ingat,segagah mana pun kita ada yang lebih gagah, maka selalulah merendahkan diri apabila berjalan di dunia ini.

2.Manusia perlu tahu minat dan kecenderungan sejak di bangku sekolah lagi supaya tidak susah menilai untuk masa akan datang.

3.Tidak perlu merasakan diri ini cukup bagus dan slogan " Tanpa aku, sesuatu itu tidak akan berjalan " perlu dihapuskan dalam kamus hidupku.

4.Selepas ini saya akan mengambil lesen dan perlu melupakan segala aktiviti.Selagi saya tidak mendapat lesen saya tidak akan pulang ke rumah.(InsyaAllah )

5.Usiaku semakin membesar.Apa yang aku dapat?

6.Rindu dekat KAK IMAN !!!

*Saya mendoakan kepada semua rakan-rakan agar dapat mencapai matlamat hidup masing-masing dan dapat memasuki Universiti yang diidamkan.(Termasuk Abg Sarep yang sentiasa dirindui )



أَلآ إِنَّ لِلَّهِ مَا فِى ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلأَرۡضِ‌ۖ قَدۡ يَعۡلَمُ مَآ أَنتُمۡ عَلَيۡهِ وَيَوۡمَ
يُرۡجَعُونَ إِلَيۡهِ فَيُنَبِّئُهُم بِمَا عَمِلُواْ‌ۗ وَٱللَّهُ بِكُلِّ شَىۡءٍ عَلِيمُۢ
"Ketahuilah! Sesungguhnya Allah jualah yang menguasai segala yang ada di langit dan di bumi. Sesungguhnya Dia mengetahui keadaan yang kamu berada padanya (wahai umat manusia) dan pada hari umat manusia itu kembali kepadaNya, maka Dia akan menerangkan kepada mereka segala yang mereka kerjakan, kerana sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap tiap sesuatu. (64) "
AN-NOOR (64)

Monday, April 7, 2008

Pencarian Yang Ternanti

Kali ini ingin saya berkongsi sebuah sajak saya yang telah tersiar di Radio IKIM.FM pada bulan lepas.Terima Kasih kepada pihak penerbit "Nukilan" radio IKIM yang telah menyiarkan sajak saya ini.Sudah 2 kali sajak saya tersiar di IKIM.FM.Sedikit rumusan mengenai sajak ini,saya membawakan watak seorang penunggu yang sedang tercari-cari seorang wanita (An-Nisa) yang tinggi akhlaknya dan budi pekertinya.Ilham tercapai apabila saya berjalan bersendirian melihat gelagat manusia di luar sana.Akhirnya nada ini tercipta untuk menterjemahkan isi pandangan untuk dikongsikan bersama.Agar semua dapat mengambil manfaat.Sempat merakamkan sedikit sahaja nukilan ini dengan menggunakan handphone saya kerana pada awalnya tidak sedar sajak yang dibaca itu merupakan sajak saya,makanya hanya bait-bait terakhir sahaja yang sempat dirakam.


Pencarian Yang Ternanti.

Tatkala bumi semakin merekah
Pada masa itulah gelisah kian menyerap
Jiwa kudus berserabut dengan sawang
menyoal kebinasaan
bertanya kegilaan

Pokok itu mahu melihat
Matahari masih menunggu
Haiwan terus mencari
Entah mana hilangnya roh Siti Khadijah binti Khuwailid
dan mana perginya semangat Saydatina A’isyah pada jasad lumpuh kini?

Kalian pergi jauh membawa hidup menyimpang
bersama senapang tidak berpeluru lagi
walaupun sebutir…tidak
kadang-kadang sengaja tidak disumbatkan peluru itu
agar mudah dikerumuni jenis makhluk rakus
engkau yang hendak…

Bersangka tanpa sangsi
memperhambakan diri pada auratmu
mahkota malu itu kau campak ke dalam lumpur
semata-mata inginkan kebebasan mutlak
merempuh dewala syarak tanpa noktah
tanpa berfikir waras

Bicara hati di senja dunia
mentafsir pandangan mata
menterjemah siulan suara
dengan itu aku menyimpul

Akhirnya ini aksara yang hadir
Penantian yang ternanti
sidang makhluk alam kian suram
menjamah isi alam

Tersiar di
Radio IKIM.FM

*sekadar gambar hiasan

Sunday, April 6, 2008

Perjalanan

Minggu lalu sarat dengan pelbagai aktiviti yang melibatkan diri saya.Antaranya Majlis Kenduri Kesyukuran Tingkatan 5 2007.Majlis ini diadakan untuk semua pelajar di Sekolah Menengah Islam
Al-Amin Gombak termasuk
(Pelajar Tingkatan5 2007).Alhamdulillah program berjalan dengan lancar dan jamuan makan merupakan acara kemuncak majlis ini.Para guru,ibubapa dan pelajar disajikan dengan sajian-daging lembu dengan pelbagai aneka lauk.Terkilan juga kerana ada sesetengah rakan yang lain tidak dapat hadir ke majlis tersebut kerana mengikuti PLKN.Teruskan perjuangan di sana sahabat-sahabatku!!!( MuhaiminMk,Mushana,Abdillah,Muiz,Atiqah Hassan).


Seterusnya hari ahad (6/04) saya bergerak ke Pesta Buku (Book Fair ),di PWTC bersama rakan-rakan yang lain.Niatnya,ingin membeli buku-buku walaupun tiada senarai buku apa yang hendak dibeli dalam kepala ini.Orang ramai tidak putus-putus memasuki bangunan PWTC-(cuma tidak semua ingin membeli buku pun ).Wah !!! Rambang Mata...Melihat Abg Sarep yang membeli banyak buku mengenai fatwa-fatwa baru Islam dan Solihin yang turut membeli buku mengenai panduan solat (bukan baru hendak belajar solat,tp ulasan dan soal-jawab mengenai solat mengikut sunnah Nabi Muhammad).Saya masih tercari-cari buku apa yang hendak dibeli.Akhirnya terjumpa juga buku yang lekat di hati."Rindu Ibu." Sebuah antologi puisi yang yang mengumpulkan 101 puisi daripada Sasterawan Negara A.Samad Said.Mengapa buku ini menarik minat saya? Saya mempunyai 3 buah buku antologi perseorangan di rumah - (Shamsudin Othman,Hilmi Rindu dan Ida Munira ),maka dengan adanya sebuah buku lagi "Rindu Ibu" , maka dapatlah saya belajar teknik penulisan sajak dengan lebih baik.Sebelum ini,saya sudah membaca puisi-puisi daripada Shamsudin Othman,Hilmi Rindu,Ida Munira,Aziz Deraman,T. Alias Taib dan beberapa orang lagi termasuk sifu saya (Fahd Razy),saya dapat membuat kesimpulan bahawa mereka ini dapat mencipta satu gaya penulisan yang berbeza-beza.Mungkin dengan sedikit analisis dan kajian,saya dapat menghasilkan sebuah karya yang tidak klise hendaknya.Ya,mungkin sedikit kuno jika saya menulis mengenai puisi /sajak di sini,maklumlah zaman yang bertali arus dicucuk dengan jarum halus hingga pewaris bangsa " kononnya" hilang minat untuk menghayati puisi-puisi ini.Maka dengan sebuah buku yang saya beli ini,moga-moga diberkati Allah dan berguna sebagai ilmu yang bermanfaat untuk diri saya dan orang lain.Seterusnya saya dan rakan-rakan lain bergerak ke Plaza Low Yat untuk membeli barangan komputer;mouse dan headphone. Maka berakhirlah perjalanan minggu ini.Pelbagai kesimpulan yang dapat saya rumuskan setelah minggu ini selesai di lalui :

1.Ilmu tanpa amal,ibarat pokok yang tak berbuah ( jaga-jaga wahai rakan-rakan sekolahku)

2.Siapa pewaris agama,bangsa,dan negara sekarang??? ("Bal Hum Adol")


3.Budak-budak (khususnya remaja kini) pergi pesta buku buat apa?-Beli buku Ujang atau buku Doremon atau hendak bercinta(berkepit+++) sambil berbincang mengenai isu Filem Fitna sesama mereka ( tak ke JAHIL? )

4.Habiskan membaca buku "Sejarah Ketamadunan Islam" dan "Rindu Ibu" ( InsyaAllah)


‌ۚ سَيَقُولُ ٱلسُّفَهَآءُ مِنَ ٱلنَّاسِ مَا وَلَّٮٰهُمۡ عَن قِبۡلَتِہِمُ ٱلَّتِى كَانُواْ عَلَيۡهَا‌"
"قُل لِّلَّهِ ٱلۡمَشۡرِقُ وَٱلۡمَغۡرِبُ‌ۚ يَہۡدِى مَن يَشَآءُ إِلَىٰ صِرَٲطٍ۬ مُّسۡتَقِيمٍ۬
"Orang-orang bodoh (yang kurang akal pertimbangannya) akan berkata: Apa sebabnya yang menjadikan orang-orang Islam berpaling dari kiblat yang mereka mengadapnya selama ini? Katakanlah (wahai Muhammad): Timur dan barat adalah kepunyaan Allah (maka ke pihak mana sahaja kita diarahkan Allah mengadapnya, wajiblah kita mematuhiNya); Allah yang
memberikan petunjuk hidayatNya kepada sesiapa yang
dikehendakiNya ke jalan yang lurus."
(Al-Baqarah:142)

YA ALLAH TETAPKAN DIRIKU DAN UMAT ISLAM DI DALAM AGAMA MU DAN JADILAH MANUSIA YANG PATUH PADA SURUHAN ALLAH