Sunday, October 26, 2008

Mendalami Maksud "Penjual Kata"

Alhamdulillah,sempat juga menaip untuk update blog ini.Kondusinya kini agak sibuk kerana kuliyah sudah pun bermula.Cabaran sebagai seorang medical student sudah makin terasa bahangnya.

Apa-apa pun untuk post kali ini,saya akan cuba menerangkan maksud sajak "Penjual Kata" yang tersiar di majalah Dewan Siswa September 2008.Mungkin ada yang bertanya,"kenapalah si Rahman ni jiwang sangat..tulis-tulis sajak ?Pastu dia ni bukan amik medic ke,apa kaitan sajak dengan perubatan?"

Sememangnya saya memang meminati bidang seni kreatif termasuklah penulisan kreatif ini.Saya merasakan bahawa bidang penulisan ini merupakan satu lapangan yang luas dan kita boleh melontarkan apa-apa sahaja.Sama ada perkongsian pengalaman,rasa dan pandangan boleh dilontarkan.Apa pula kaitan dengan perubatan?Secari teorinya memang tidak ada kaitan langsung kedua-dua cabang ini,namun secara praktikalnya penulisan kreatif (sajak) luas cabangnya dan boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian.Ada juga penulis muda yang semakin meningkat naik kini yang mengambil bidang perubatan,antaranya Fahd Razy,Hafiz Iftiqar dan beberapa orang lagi.

Mendalami Maksud "Penjual Kata"
Saya mendapat ilham menulis sajak ini bila menghayati salah satu potongan ayat Al-quran daripada surah Al-Imran (ayat 110)

"Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman) dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka orang-orang yang fasik"

Bak kata Faisal Tehrani dalam komennya di Dewan Siswa,sajak ini mempunyai makna yang mendalam.Namun terdapat kecacatan pada konsentrasi dan irama.

Tema sajak ini bersifat islamik dan maknanya perlu dihayati kerana sajak ini menggunakan perlambangan sebagai teras.Istilah "kata" merujuk kepada tanggungjawab yang besar dipikul oleh semua manusia iaitu menyampaikan risalah ISLAM.

Penulis ingin memberi gambaran bahawa "penjual kata" ini adalah tugas yang bukan senang,dan bukan semua yang memahami konsep sebenar sebagai seorang "penjual"."Penjual Kata" tidak ada "untung"."Untung" di sini penulis ingin menyatakan bahawa tiada apa faedah yang dapat untuk diri "Penjual Kata" semasa di dunia,namun di akhirat kelak pasti ada habuannya.

Menurut Faisal Tehrani lagi,rangkap ketiga sajak ini terdapat nada pasif dan tidak wajar dimiliki oleh generasi sekarang.Perhatikan bait "menjual kata indah tiada harga,mengharap orang akan membelinya".Ayat tersebut pasif.Seakan-akan "seisi dunia" tidak memberikan reaksi terhadap usahanya". Itu komen Faisal Tehrani,namun bagi penulis apa yang ingin disampaikan ialah dalam kerja menjual kata ini (berdakwah) kadang-kadang ada masa kita akan lemah semangat (futur) dan terganggu.Maka ini juga merupakan sifat semula jadi manusia yang disebabkan oleh keadaan sekeliling.Contoh kisah sirah yang kita boleh gambarkan ialah ketika Rasullallah mengalami kesedihan yang teramat apabila isterinya (Khadijah) dan ayah saudaranya (Abu Tholib) meninggal dunia.2 tokoh yang sentiasa memberi dorongan dan semangat dalam kerja-kerja penjual katanya itu(dakwah) telah pergi untuk selamanya.Namun peristiwa isra dan mi'raj telah memberi simbolik kepada kita bahawa Allah ingin menghilangkan rasa kesedihan beginda Rasullallah dan terus menyebarkan risalah islam selepas itu(solat).

Begitu juga dalam sajak ini,perasaan begini pasti akan wujud ketika kita menjual kata kepada masyarakat.Bukan mudah untuk menjual kata walaupun ianya "tiada harga"=percuma.

Rangkap terakhir terus menyangkal nada pasif yang terdapat pada rangkap sebelumnya.Semangat yang hilang perlu dicari kembali dan terus menjalankan kerja kita sebagai penjual kata kerana suatu hari nanti pasti akan ada yang datang membeli kata-kata(risalah Islam).

Untuk menjawab persoalan Ex-Aulad pula iaitu "Dimanakah mendapat modalnya?" Senangnya saja,modalnya kita boleh ambil daripada quran dan as-sunnah.Itulah dua sumber atau modal yang utama.Kita perlu ingat juga jika modal sudah ada,kita juga perlu membina kekuatan diri sama ada dalaman atau luaran.Bagaimana hendak mendapatkan kekuatan itu? Bersamalah dalam "jemaah" dan didiklah diri kita supaya dekat dengan Maha Pencipta.

Kesimpulannya,sajak ini agak berat untuk dirungkaikan secara zahirnya,tetapi inilah "kata" yang ingin saya jual kepada semua,supaya kita sedar akan tanggungjawab kita sebagai seorang muslim.Makanya marilah kita bermuhasabah kembali sama ada kita ingin menjadi "penjual kata" yang berjaya atau "penjual kata" yang rugi.

Wassalam.

Saturday, October 11, 2008

Karya Tembus Media

Alhamdulillah,bulan September dan Oktober,beberapa karya saya telah berjaya menembusi majalah dan akhbar-akhbar tempatan.

PENJUAL KATA

Kota kecil ini aku bertandang
dengan reda dan tawakal kudus aku berniaga
menjual kata indah tiada harga
mengharap orang akan membelinya

Aku penjual kata untuk teguran
Kerana aku penjual yang memerhati alam
Segala keperluan kota ini diselongkari nian
Seutai kata tiada harga ingin kuberi

Aku penjual kata yang tiada untung
Tiada manusia membeli kata bermakna
Kerana mereka tiada kepentingan nafsu
Kadang kala mereka menolak
persis aku tiada erti sebagai penjaga tanah pinjaman ini

Aku tetap penjual kata kepada jelata
Mungkin hari ini mereka kabut
Ribut wang dan hidup gembira
Penghujung nanti pasti ada pembeli setia

Rahman D
Dewan Siswa September 2008



MENGAPA

Teriak pawana menghembus duka
berpisahlah gembira dan riang
Aku yang terhimpit dek tusukan menggila
merangkak pedih dalam derita seksa
Malam berlabuh dengan tangisan sepi
Bulan mengambang ketawa sendiri
Fikiranku bercangkaliwang
bersama mimpi lama menghantui diri.
Jiwa meronta mindaku meliar
Sukma pedih
memugar kamar kesengsaraan
merobek ketenangan hakiki

Dosa lama menghukum kalbu
merantai diri yang bebas berlari
dewala indah melambai girang
meninggalkan awan mendung
yang menatapku dalam setiap langkahan
supaya aku berfikir kembali
janji benar dari Ilahi

Lembah persinggahan alam rahsia
hidupku disini


RAHMAN D
TAMAN KERAMAT
Mingguan Malaysia



JALAN
(Buat ketabahan yang diseru semangatnya)

Hitungan masa dalam bingkai hidup
menjelma detik girang suka
juga saat duka nestapa
yang dihimpun menjadi peta hayat,
supaya kita mampu menghadam betul-betul
lukisan berbeda pada satu kertas yang sama.


Bertahun itu dijamah dengan emas mewah
dan kini warnanya semakin luntur menjadi biasa
harganya sudah hilang dan nilai tiada nian.
Bukan itu lintar malapetaka menerpa
bukan itu ribut bala berganda
maka itu ialah utusan ujian
yang menyukat puing-puing iman dan manik-manik taqwa.

Setelahnya itu,ditenung mendalam
antara cerah menang atau gelap tewas
ketika musibah menyinggah tanpa undangan
terhidang dua lorong penyelesaian nyata,
iaitu lorong kesabaran- kunci tawa mendatang
dan lorong putus harapan- beban berterusan.


Singgahan ini pintunya satu juga
namun kamar muhasabah mengheret kembali
tangan yang memegang banyak kunci itu
ke sejadah pengabdian dan sayu zikir tahajud
jika hati dan jiwa diijab kabulkan
dengan putih taubat dan biru ampun
benih-benih insaf pasti bercambah pada tanah rohani
setelah titisan air mata nasuha mengguyur tenang.

RAHMAN D
UKM

Berita Harian

Harapan dan Impian

Setiap insan yang dilahirkan pasti mempunyai impian dan cita-cita dalam hidup.Bagi mereka yang memahami dan mengerti erti kehidupan yang sebenar,pasti meletakkan impian mereka ialah syurga Allah di pengakhiran hidup mereka.Sedangkan terdapat juga segelintir manusia yang menjadikan keseronokkan dan kemewahan dunia sebagai impian mereka.

Namun begitu sahabat,dalam mengejar impian tersebut,banyak rintangan dan dugaan yang pasti kita lalui.Firman Allah dalam surah Al-Ankabut ayat 2 maksudnya:

"Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan,'Kami telah beriman,'dan mereka tidak diuji".


Maka dengan mihnah dan cabaran yang bakal dihadapi ini kita sama-sama mengutip segala pengajaran dan sedikit demi sedikit meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah.




AKTIVITI TERKINI
Alhamdulillah,minggu orentasi baru bermula di University Iskandariah.Dalam tempoh seminggu ini pelajar akan diberi taklimat mengenai sistem pengajian dan ada juga slot-slot motivasi yang dikendalikan oleh abang dan kakak senior.InsyaAllah sesi kuliyah akan bermula 18/10 dan maknanya perjalanan saya baru bermula.Masih jauh dan persediaan mental dan fizikal perlu dipersiapkan dengan betul.


TAG RAYA LAGI
Terima kasih Ammar Sahrim dan Amirul Caliph 14 sebab tag hari raya dan bagi yang masih sibuk beraya jangan lupa amalan sunat yang sangat digalakan di bulan syawal ini iaitu puasa 6
hari.


EXAM
Bagi rakan-rakan yang tengah dan akan menduduki peperiksaan,saya doakan moga-moga antum berjaya dengan cemerlang dan teruskan usaha dan perjuangan antum semua.

Adik-adik tingkatan 3 yang akan menduduki peperiksaan PMR,selamat menduduki peperiksaan saya ucapkan.Tidak ada siapa yang boleh bantu antum semua kecuali Allah yang berkuasa.Doa selalu untuk diri dan rakan-rakan yang lain.Minta restu ibu ayah serta minta guru-guru halalkan ilmu yang telah diberikan.


GAMBAR

wajah-wajah kami

pantai syatby Iskandariah


lontaran jauh ke laut

ketenangan kami ditepi pantai yang indah

"umur semakin bertambah,Masa pantas berlalu"-Nik Kito

bee hun yang lazat dibuat oleh kami...

juara makan

Monday, October 6, 2008

Hari-Hari Raya

Pertama kali beraya di negara orang ini begitu banyak perbezaannya dengan negara sendiri.Tidak semeriah,tiada duit raya,tiada keluarga,TETAPI ada ketupat(heheh).Beraya di dataran 'asyir dan berjumpa dengan semua pelajar Melayu di sana sedikit sebanyak dapat menghidupkan suasana hari raya seakan-akan di Malaysia.Takbirnya,makanannya dan pakaian semuanya ala-ala sambutan perayaan di Malaysia.Tidak banyak cerita yang ingin dikongsikan kerana raya di sini hanya satu hari sahaja bagi mereka.Bukan seperti Malaysia,sebulan menyambut perayaan aidilfitri.Namun orang arab di sini cukup menangisi pemergiaan ramadhan yang bagi mereka lebih penting daripada menyambut perayaan.Kalau di Malaysia jika di penghujung Ramadhan ramai yang sudah tidak ke masjid untuk menunaikan solat terawih dan sebagainya,namun masyarakat di sini semakin penghujung ramadhan semakin ramai manusia yang membanjiri masjid-masjid dan memeriahkannya dengan ibadah yang tak pernah putus-putus.Sama-samalah kita muhasabah bersama-sama.

Alhamdulillah,sekarang saya menetap di Iskandariah-Syatbe.Betul-betul di tepi pantai.Udara agak segar kalau nak dibandingkan dengan Cairo.Rumah yang dikongsikan bersama 5 rakan yang lain dapat memuaskan hati kami insyaAllah.